Monday, April 28, 2008

PANTUN NEGERI PERLIS

فرليس ايندرا كايغن
PERLIS INDERA KAYANGAN

Oleh
REJAB F.I.


Sayang Salmah menyusun ayat,
Ketika malam asyik menulis;
Sunah Waljamaah anutan rakyat,
Termaktub dalam Perlembagaan Perlis.

Pandai sungguh putera bermadah,
Bermadah sedikit keharu-haruan;
Timah Tasoh terhampar indah,
Banjaran bukit kebiru-biruan.

Puteri Bengkalis sifatnya anggun,
Wajah berseri sopan menyembah;
Ekonomi Perlis pesat membangun,
Sayang industri kurang bertambah.

Angin barat meninggalkan pesan,
Pesan bersama nakhoda Cina;
Seluruh rakyat menghulurkan ihsan,
Sekolah Derma berjaya dibina.

Mengail tenggiri di pinggir bahtera,
Ombak melantun bergumpal-gumpalan;
Rakyat negeri ramah dan mesra,
Sopan santun menjadi amalan.

Mengukir keris menitik besi,
Sisipan gangsa nilai setara;
Awang Batil pewaris tradisi,
Kesenian bangsa patut dipelihara.

Buka jendela seruling bergema.
Makan emping sambil bermadah;
Simen dan gula perusahaan utama.
Kawasan Chuping terkenal sudah.

Sang kancil bijak mengintai,
Pokok limau di tepi halaman;
Nelayan kecil di tepi pantai,
Pukat harimau menjadi ancaman.

Cuaca cerah di rumpun dedalu,
Jala di himbau sepenuh atma;
Menurut sejarah zaman dahulu,
Laga kerbau sukan utama.

Merendang berangan sambil berperi,
Kopek kulitnya terkena alis;
Indera Kayangan gelaran diberi,
Setelah lahirnya negeri Perlis.
Saya amat berbangga kerana saudara AFYasin berusaha menolong saya membuat blog ini.

TAHNIAH ATAS MUNCULNYA BLOG ANDA YANG BARU

Tahniah. Blog anda telah dibina. Sekarang anda bolehlah mengisi Blog ini dengan maklumat yang boleh membantu menyumbang pengetahuan kepada anak bangsa kita. Saya pasti pengetahuan anda dalam bidang kesusasteraan dan pengalaman anda sebagai bekas guru akan banyak membantu.

Harap dapat dimanfaatkan Blog anda secara berhemah dan berhati mulia. Sekali lagi Tahniah dari kami.
Nama Blog anda ialah http://www.rejabfi50.blogspot.com/