Saturday, May 17, 2008

PROSES KREATIF ANTOLOGI CERPEN DIUSM


Saya sedang menyampaikan proses kreatif antologi cerpen "Deklarasi Belantara" di USM,
sempena pelancaran buku tersebut anjuran DBP Wilayah Utara dan Penerbit Universiti Sains Malaysia.

PAPAN TANDA PUISI PERLISKU



Papan tanda puisi "Perlisku" yang kudirikan di halaman rumah - suara hati dan nurani terhadap negeri Perlis, tempat tumpah darahku - Gambar yang diabadikan oleh Malaysia kini ketika datang menemuramah denganku.

Friday, May 16, 2008

BICARA PROFIL BERSAMA REJAB F.I.

BICARA PROFIL BERSAMA REJAB F.I - MALAYSIA KINI
(Mula dipamer pada 29/4/2002 5:04:20 PM)

Rejab bin Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F. I merupakan seorang penulis yang bukan sahaja terkenal di negeri asalnya negeri Perlis Indera Kayangan malah nama beliau sudah bertapak kuat di arena penulisan tanahair. Beliau bukan sahaja berbakat menghasilkan cerpen, novel dan sajak malah berkebolehan menulis skrip drama televisyen. Bersumberkan kehidupan masyarakat sekeliling, beliau mengarap suatu bentuk penulisan yang mampu merutun jiwa penontonnya. Kenali Rejab F.I atau lebih mesra membahasakan diri beliau sebagai Pak Jab dalam Bicara Profil ini. Ebm

BM: Bagaimanakah nama Rejab F.I itu diperolehi?
RI: Nama sebenar saya ialah Rejab bin Ismail. Rejab F. I pula merujuk kepada nama dua orang yang
menjadi kebanggaan saya. ‘F’ adalah sempena nama isteri Pak Jab iaitu Fatimah dan ‘I’ sempena nama
bapa saya iaitu Ismail. Jadi, saya mengabadikan nama mereka kerana jasa dan bakti mereka.

BM: Pak Jab sebagai seorang guru, kemudian terjun dalam bidang penulisan. Adakah guru itu
cita-cita pertama ataupun penulisan itu cita-cita pertama?
RI: Kebanyakan penulis di Malaysia pada zaman saya terdiri dari kalangan guru. Sebab guru-guru
mempunyai peluang untuk menulis dan juga membaca pada peringkat awal di negara kita. Jadi, semasa
menjadi guru timbul daya usaha untuk menulis kerana pada masa itu tahap pembacaan di negara kita
amat rendah. Memandangkan gurulah yang banyak membaca, jadi secara tidak langsung ianya membantu
seseorang itu menjadi kreatif kerana ideanya dapat diperkembangkan. Bagi Pak Jab, minat dalam sastera
bermula dari kecil lagi. Kata orang bermula dalam buaian lagi. Ibu Pak Jab banyak bercerita tentang
cerita-cerita rakyat sebelum Pak Jab tidur. Bermula dari situ tumbuhlah daya kreatif melalui cerita-cerita
rakyat, cerita klasik dan cerita orang-orang tua. Pada masa Pak Jab ke sekolah, Pak Jab membaca
banyak buku-buku cerita tapi ketika itu zaman penjajahan. Inggeris lebih mengutamakan bahasa Inggeris.
Masalahnya Pak Jab belajar di sekolah aliran Melayu, sudah tentu akan menghadapi masalah untuk
mendapatkan bahan bacaan. Hanya beberapa naskah sahaja buku cerita Melayu yang terdapat pada
masa itu misalnya Orang Bersayap, Hikayat Hang Tuah dan beberapa naskah lagi. Bila jadi guru, Pak Jab
banyak membeli buku-buku cerita yang pada masa itu pengaruh Indonesia cukup kuat. Sebelum
konfrontasi Indonesia ke atas Malayisa, telah ditubuhkan perpustakaan Republik Indonesia di Kangar. Jadi
secara tidak langsung Pak Jab berpeluang mambaca banyak buku-buku hasil karyawan dari sana. Setelah
itu, timbul pula di hati Pak Jab untuk meluahkan idea Pak Jab sendiri. Semasa Pak Jab menjadi guru, Pak
Jab mengambil peluang yang ada untuk berkarya.

BM: Apakah bentuk penulisan yang cenderung dihasilkan oleh Pak Jab?
RI: Pak Jab sebenarnya lebih berminat untuk menghasilkan sesuatu penulisan yang kreatif iaitu hasil
penulisan yang boleh dimasukkan dalam semua majalah atau artikel seperti cerpen, puisi, drama, novel
dan cerita rakyat yang dapat membentuk mentaliti anak-anak kita bermula di awal usia mereka lagi dan
seterusnya hinggalah mereka sudah remaja, dewasa dan di peringkat berumur. Sebab melalui cerita klasik
ini ianya dapat membentuk keperibadian anak-anak kita. Kalau dibandingkan anak-anak kita zaman
sekarang, mereka lebih banyak menonton televisyen daripada mendengar cerita-cerita klasik. Pengaruh
daripada cerita tersebut menyebabkan wujudnya bermacam gejala sosial seperti bohsia, budaya lepak,
penagihan dadah dan sebagainya. Kerajaan cuba membendung masalah sosial ini tetapi pada masa yang
sama pihak media bebas menyiarkan tayangan-tayangan yang boleh merosakkan akhlak anak-anak muda
kita hari ini. Tetapi kita bersyukur kerana Kementerian Pendidikan telah menyedari bahawa pendidikan
rohani anak muda kita di sekolah adalah melalui sastera dan budaya. Sebagai contoh negara Jepun,
mereka membangun dengan segala macam pembangunan, sains dan juga teknologi tetapi mereka
berpegang teguh kepada tradisi kehidupan mereka, adat, sejarah dan bahasa. Sebab itulah Jepun dapat
membentuk bangsa yang cintakan negara, bangsa dan budayanya. Jadi, pada pendapat Pak Jab untuk
membentuk keperibadian murni di kalangan anak-anak muda, kita pandanglah ke timur melalui budaya
yang sesuai sebagai seorang Islam.

BM: Pak Jab berkata sebelum tidur ibu Pak Jab bercerita dengan cerita-cerita klasik. Tapi budaya
bercerita bukan lagi menjadi satu amalan dalam masyarakat kita pada hari ini. Sedangkan Pak
Jab katakan tadi cerita-cerita yang sedemikian dapat membentuk minda dan peribadi anak-anak
seperti hormat menghormati kepada orang tua, rakan dan sebagainya. Nampaknya sukar untuk
mendidik anak-anak hari ini.
RI: Tidak sukar, kerana pada masa sekarang ini banyak syarikat penerbitan buku, jadi kita tidak perlu lagi
bercerita. Apa yang perlu ialah kita perlu bekalkan mereka dengan bahan bacaan cerita-cerita rakyat
memandangkan pada masa ini ianya mudah untuk didapati. Dengan cara ini anak-anak dapat mengetahui
cerita tersebut yang mengandungi pelbagai unsur pengajaran, nilai-nilai murni dan sebagainya melalui
pembacaan mereka. Pak Jab sendiri pun telah menghasilkan tidak kurang dari seratus judul siri cerita
rakyat yang popular di setiap negeri. Contohnya di Perlis, lagendanya ialah seorang pahlawan bernama
Indera Kayangan dan Pak Jab menulisnya untuk bacaan kanak-kanak. Kalau di Sarawak, lagendanya ialah
Puteri Santubong, Langkawi dengan Mahsuri. Kita harus kemukakan lagenda-lagenda itu supaya
anak-anak kita mengetahui pejuang-pejuang bangsa kita pada masa dahulu melalui cerita yang ringkas.
Jadi bahan bacaan tersebut tidak memerlukan lagi ibu-ibu bercerita kepada anak-anak.

BM: Pak Jab menghasilkan begitu banyak karya seperti cerpen, novel dan cerita rakyat, jadi
bagaimana dengan sambutan masyarakat terhadap penulisan-penulisan sedemikian?
RI: Ternyata sambutan dari masyarakat kita amat kurang untuk menghayati hasil-hasil sastera. Ini adalah
kenyataan. Misalnya kami di kalangan penulisan kreatif membentuk persatuan di setiap negeri di Malaysia. Kemudian bercantum menjadi GAPENA (Gabungan Penulis-Penulis Malaysia) yang di ketuai oleh Tan Sri Prof. Osman Hussin. Sudah 31 tahun wujudnya gabungan ini bertujuan untuk menggiatkan lagi di kalangan
para penulis menghasilkan karya. Di Perlis, baru-baru ini kami mengadakan bengkel penulisan kreatif untuk
mereka yang berminat dalam penulisan dan kemudiannya kami kumpulkan hasil-hasil penulisan tersebut
kecuali rencana untuk dibukukan. Masalahnya untuk mendapatkan sebuah syarikat penerbitan pun susah
dan satu-satunya tempat kami bergantung ialah kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Bayangkan
DBP mencetak sebanyak 3,000 naskah dijual dalam jangka masa lima tahun tapi belum habis juga.
Sekarang pula DBP hanya mencetak sebanyak 500 naskah sahaja, itu pun tak terjual sepenuhnya. Ini
membuktikan bahawa masyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu amat kurang membaca.

BM: Bagaimana pula nasib kumpulam penulis-penulis sepenuh masa iaitu yang bergantung
kepada pandapatan melalui hasil jualan karya mereka. Apakah jualan buku yang tidak laku
mematahkan semangat mereka.
RI: Sememangnya kalau seseorang penulis bergantung kepada hasil karyanya untuk cari makan di
Malaysia kita boleh dikira dengan jari, pada umumnya mereka mempunyai kerja tertentu contohnya Prof.
Shahnon Ahmad, beliau adalah seorang pensyarah dan juga bekas seorang guru. Kalau nak harapkan
kepada hasil karyanya memang tak boleh hidup. Sebabnya jualan tidak berkembang kerana masyarakat
Melayu amat kurang membaca. Ada kajian mengatakan purata masyarakat Melayu membaca hanya satu
muka surat sahaja dalam setahun. Masalah ini menyebabkan perkembangan mental masyarakat kita agak
lambat untuk berkembang terutama perkembangan dalam bidang teknologi. Jadi bagaimana nasib mereka
untuk menghadapi apa yang dikatakan zaman dunia tanpa sempadan atau era globalisasi. Sebagai bukti,
ada sebuah syarikat melantik saya sebagai editor untuk menerbitkan novel remaja. Sebulan empat judul
dan sehingga kini sudah melebihi 200 judul. Tiba-tiba dua minggu yang lalu saya mendapat notis supaya
operasi syarikat tersebut ditutup. Pak Jab merasa kesal dengan penutupan tersebut kerana penerbitan
dalam versi Melayu akan semakin berkurangan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan termasuk
kempen membaca tetapi masyarakat kita tetap kurang membaca. Sebab itulah mental orang-orang kita

BM: Perlis merupakan sebuah negeri yang paling kecil di Malaysia, pada pandangan Pak Jab
apakah yang dapat diterokai di Perlis contohnya aktiviti budaya untuk mampu berdaya saing
dengan negeri-negeri lain?
RI: Memang jelas bahawa negeri Perlis kecil, sumber pendapatan pun kurang jika dibandingkan dengan
negeri-negeri lain. Tetapi semasa saya menjadi guru, Kerajaan telah merancang untuk menjadikan Perlis
sebagai pusat keilmuan bagi menambahkan pendapatan. Industri ilmu bermaksud mendirikan seberapa
banyak kemudahan pusat pengajian untuk menjadikan Perlis seiring dengan pembangunan dengan
negeri-negeri lain. Kewujudan industri ini akan membantu memakmurkan Perlis. Malangnya, usaha tersebut
berjalan agak perlahan akibat daripada beberapa masalah yang timbul. Ini merupakan sesuatu yang amat
merugikan. Perlis juga kaya dengan budaya dan kesenian tradisional sama dengan negeri-negeri lain di
Malaysia. Masalahnya kesenian negeri perlis tidak di perkenalkan secara meluas. Saya pun memberi
penumpuan untuk memperkembangkan lagi kesenian tradisi Perlis contohnya tarian Canggong. Saya cuba
membuat kajian bagaimana untuk mempopularkan tarian tersebut. Pernah satu ketika di bawah Majlis
Kebudayaan dan Persatuan Penulis Negeri Perlis kami berusaha mempertahankan ‘tarian Canggong’ dan
‘lagu Cinta Sayang’ yang sekarang ini dipopularkan oleh Negeri Kedah. Majlis Kebudayaan dan Persatuan
Penulis Perlis mencabar supaya menunjuk dengan betul tarian Canggong kerana tarian canggong yang asli
bukan seperti sekarang. ‘Beduan’ merupakan kebudayaan negeri Perlis yang tertua iaitu kewujudannya
300 tahun dahulu. Permainannya dengan menggunakan 10 orang pemain gendang. Mereka melaungkan
sekuat-kuatnya lagu (berbentuk pantun) yang mereka nyanyikan dan kebiasannya amalan ini dimainkan di
rumah kenduri orang kahwin dengan tujuan untuk menghebahkannya. Sayangnya “beduan” sudah tidak
diamalkan dan tidak lagi menjadi amalan masyarakat Perlis. Sebab itulah Pak Jab cuba sedaya upaya
untuk menghidupkan kembali amalan tradisi itu.

BM: Sepanjang Pak Jab bergiat dalam penulisan, kesenian dan kebudayaan, saya rasa sudah
boleh digelar aktivis budaya. Macam mana pengiktirafan khususnya kepada jasa-jasa Pak Jab
ini.
RI: Semasa Allahyarham Y.A.B. Datuk Jaafar Hassan (Bekas Menteri Besar Perlis), ada bagi pingat
penghargaan kepada Pak Jab iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Selepas itu Pak Jab menerima sekali lagi
anugerah yang Pak Jab rasa ianya bolehlah dianggap sebagai pingat penghargaan iaitu Ahli Mahkota Perlis
(AMP). Walaupun ini semua bukanlah perkara yang diutamakan tetapi Pak Jab berterima kasihlah dan
bersyukur kepada Allah dengan apa yang telah Pak Jab kecapi. Ebm

Thursday, May 15, 2008

KEHEBATAN CANDI BOROBUDUR


Saya di hadapan Candi Borobudur ketika melancong ke sana pada 22 Januari 2008, bersama peserta rombongan, menyaksikan betapa hebat, dibangunkan oleh manusia dalam abad ke 8, menggunakan tenaga tanpa menggunakan jentera janggih masa kini. Meskipun dibangunkan oleh penganut agama Buddha, akan tetapi kini penduduk sekitar rata-rata beragama Islam.

KERUNTUHAN CANDI BOROBUDUR






Beginilah keadaan Candi Borobudur ketika ditemui Thomas Stamford Raffles sekitar tahun 1811 - 1815.
Kini Candi Borobudur diperbaiki dan dibangunkan semula seperti keadaan asalnya - betapa menarik, merupakan salah satu objek keajaiban dunia. Kerajaan Indonesia begitu berusaha memulihara sebagai suatu daya penarik pelancongan di daerah Jokjakarta.

Wednesday, May 14, 2008

PENGLIPURLARA AWANG BATIL



"Awang Batil" merupakan penglipurlara yang terdapat di negeri Perlis. Suatu ketika dahulu, Awang Batil akan mengembara ke mana-mana untuk mempersembahkan cerita-cerita rakyatnya. Cerita-cerita itulah 'penghibur' masyarakat setelah penat bekerja sehari-harian. Awang Batil akan memukul batil sebagai muzik iringannya. Cerita-cerita persembahan Awang Batil amat memikat dan mengandungi banyak pengajaran dan pendidikan - hargailah cerita-cerita rakyat kita yang mengasuh budi dan pekerti anak-anak muda zaman dahulu. Bagaimana sikap anak-anak muda zaman kini yang tidak lagi diasuh sedemikian rupa?

Tuesday, May 13, 2008

PEMANDANGAN AMPANGAN TIMAH TASOH



Pemandangan ampangan Timah Tasoh, sumber air untuk kawasan utara negeri Perlis. Sekitar kawasan ini dahulu merupakan penempatan rakyat, diberi pampasan sewajarnya, ramai yang mendapat gelaran "Haji Timah Tasoh'. Adalah diharapkan air di sini benar-benar dimanfaatkan untuk rakyat terutama para pesawah dan tanah pertanian lainnya.

LADANG TEBU DI PERLIS



Pemandangan ladang tebu di negeri Perlis. Sesayup mata memandang. Sumber hasil negeri Perlis daripada sekian luas tanah yang sepatutnya untuk penempatan rakyat. Akan tetapi demi pembangunan dan kemajuan, rakyat terpaksa berkorban ... Dan diharapkan hasil daripada ladang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat negeri ini.

AKU DI RUMAH AF YASSIN

Gambar yang dirimkan oleh sdr A.F.Yassin
ketika aku sekeluarga berkunjung ke rumah
nya di Jalan Gajah 9, Sungai Buluh, Selangor
pada 11 Mei 2008 - terima kasih saudara.

CANDI BOROBUDUR MEMBANGUN KEMBALI SETELAH KERUNTUHAN

رجب بن اسمعيل - رجب ايف. اءي

Oleh
REJAB F.I.


BOROBUDUR merupakan candi yang begitu menarik, di antara candi yang terbesar di dunia. Terletak di Kacamatan Borobudur, 42 kilometer dari bandar Yokyakarta, Indonesia, begitu kukuh pembinaannya, didirikan dalam abad ke-8 oleh penganut agama Buddha aliran Mahayana.
Candi tersebut sebenarnya telah mengalami keruntuhan disebabkan oleh gerak gempa, letusan gunung berapi dan dipanah petir, sekian lama tinggal terbiar dalam hutan belantara setelah penganut agama Buddha tidak lagi berkembang di situ.
Menurut Aiaz Rajasa yang menulis buku kecil, berjudul CANDI BOROBUDUR, Candi Pawon & Candi Mendot, 2007, dalam abad ke 19, sekitar tahun 1811 hingga 1815, ketika Inggeris memerintah Indonesia, Sir Thomes Stamford Raffles (yang kemudiannya membuka Singapura pada tahun 1819) selaku Gabenor Jeneral di pulau Jawa mendapat tahu terdapat sebuah candi dalam daerah pemerintahannya.
Seorang pegawai Inggeris yang bernama H.C.Comelius ditugaskan oleh Raffles untuk menyelenggarakan pembersihannya. Lantas kawasan candi tersebut dibersihkan sekitarnya dan berusaha membina semula, akan tetapi tidak berkesempatan memulihara sepenuhnya kerana Sir Thomas Stamford Raffles di tukar menjadi gabenor Singapura.
Ketika pemerintahan Belanda, meskipun terdapat pemimpinnya yang begitu tertarik kepada Borobudur akan tetapi terdapat juga di antara mereka yang mengambil membawa keluar sekian banyak artifak yang berharga. Pada tahun 1896, Residen Kedu mengambil area dan batu berukir sebanyak 8 gerabak kereta api untuk dihadiahkan kepada Raja Siam iaitu Raja Chulalongkon.
Sehingga kini, menurut Aiaz Rajana, artifak-artifak yang berharga itu masih tersimpan di Bangkok.
Meskipun begitu terdapat pegawai Belanda yang begitu prihatin terhadap keruntuhan Borobudur, sebuah menomen bersejarah dan besar maknanya itu. Dalam tahun 1907 hingga 1911, Jurutera Th Van Erp telah membongkar dan menyatukan kembali reruntuhan batu dan mendirikan kembali Borobudur.
Hasil usaha Van Erp itulah tertegak kembali Borobudur sepertimana bangunannya yang asal. Namun sesudah itu berlaku kembali keruntuhan Borobudur dari anasir alam, hujan dan gerak gempa menyebabkan Borobudur menghadapi keruntuhannya pula.
Setelah kemerdekaan Indonesia dengan kerjasama UNESCO, mulai tahun 1973 candi tersebut dapat dibangunkan seperti yang terdapat hari ini. Setelah itu berpusu-pusulah para pelancong dari dalam dan luar Indonesia seperti dari Eropah, Jepun, Korea dan China mengunjungi Candi Borobudur terutama para pencinta sejarah.
Candi tersebut, kini di awasi oleh pemerintah Indonesia sebaik-baiknya kerana khuatir akan berlaku kerosakan sepertimana pernah berlaku kebakaran suatu ketika dahulu.
Pengawasan dilakukan sebaik mungkin oleh para pegawai yang bertugas di situ. Mereka akan mengarahkan melalui pembesar suara jika terdapat para pengunjung yang melanggar peraturan ketika berada di atas bangunan tersebut.
Untuk memasuki kawasan candi dikenakan bayaran yang tertentu, lazimnya para pengunjung yang membuat pelancongan ke situ akan dibayar oleh pakej pelancongan.
Candi Borobudur didirikan bertingkat-tingkat iaitu di bahagian tapak, tubuh dan puncak candi. Terdapat 72 buah stupa kecil, di tingkat pertama 32 buah, tingkat kedua 24 buah dan terakhirnya 16 buah. Stupa-stupa tersebut mengelilingi stupa induk yang besar terdapat di puncak Borobudur.
Para pengunjung akan dibawa oleh pemandu candi sambil menerangkan kedudukan stupa-stupa tersebut dan fungsi-fungsinya.
Mengikut kepercayaan penganut agama Buddha, terdapat empat kebenaran utama pada setiap lingkaran candi tersebut. Pertama, hidup merupakan kebenaran. Kedua, penderitaan disebabkan oleh nafsu. Ketiga, penderitaan itu sebenarnya dapat dilenyapkan. Keempat, melenyapkan penderitaan perlu menjalani lapan jalan utama.
Sekian banyak patung-patung Buddha yang dipelihara dengan baik mengikut kedudukan masing-masing. Di permukaan jalan terdapat patung Singa sebagai penjaga untuk mendaki tangga Borobudur. Pada dinding candi pula terdapat sekian banyak ukiran yang mempunyai maksud tertentu terutama sekali tentang budaya kehidupan penduduk zaman tersebut.
Ketika berada di atas candi, kelihatan sekitar kawasan candi yang dipenuhi perkampungan penduduk, rata-rata mengusahakan sawah padi. Menurut salah seorang pemandu, juga merupakan seorang imam di kampungnya bahawa kini langsung tidak terdapat penduduk di sekitar candi Borobudur yang beragama Buddah, rata-rata beragama Islam.
Ternyatalah pengaruh agama Islam apabila tersebar di situ menghapuskan kepercayaan agama Buddha, tidak seperti di pulau Bali agama Hindu masih kaut pengaruhnya meskipun setelah berabad-abad kedatangan agama Islam.
Sesungguhnya para pengunjung yang terdiri berbagai bangsa termasuk dari Jepun, Cina, Korea dan Eropah ketika mengunjungi candi tersebut begitu terhibur dan dapat pula menyaksikan suatu keajaiban bangunan yang didirikan dengan kudrat manusia zaman purbakala, tanpa menggunakan jentera canggih masa kini.
Candi tersebut menggunakan sebanyak 55,000 ketul batu granit yang dipahat dan disusun merupakan sebuah candi.
Di sepanjang jalan memasuki kawasan candi terdapat sekian banyak pula barang-barangan jualan penduduk setempat merupakan cenderamata. Mereka berebut-rebutan memperkenalkan barangan masing-masing dan mengekori pengunjung sehingga terpaksa membelinya seperti replika candi, baju, buku-buku, gambar mengenai candi tersebut dan sebagainya. Kita amat terhibur, dapat pula melepaskan kelelahan di samping mengabadikan gambar di sekitar candi yang begitu gagah dan terkenal di dunia sebagai kenang-kenangan.

Tuesday, May 6, 2008

AKU ANAK GEMBALA


Nostalgia ... aku bersama lembu ... ketika inilah guruku datang ke rumah, berseru,"Rejab, kamu lepaskanlah tali lembu itu, kau dah jadi guru." Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1956.

Monday, May 5, 2008

LESTARI PERJUANGAN

Puisi (2)

Setiap perjuangan sewajarnya
menanam prinsip dan kewibawaan
menerjah pantai – menyelami samudera
menyusur sebuah pulau
di sinilah sebenarnya
tegak sebuah lestari perjuangan
mendamba setiap petualangan
menyeka setiap kerakusan
menyula setiap kepalsuan.

Sebuah lestari perjuangan
bermandikan hikmah kewajaran
memantulkan cahaya keadilan
dalam lembah kemelut kehidupan
pada setiap daerah peradaban.

Sebuah lestari perjuangan
bagaikan sebatang lilin
membakar dan menghanguskan
keangkuhan dan kepura-puraan
pada sebuah destinasi hayat
melestarikan prinsip dan cita-cita
di puncak gunung kepastian.

Mengapa kita perlu termangu
dirantai keluhan?
bukankah watan milik peribumi
kita wajar melestarikan hak
dan pusaka ibunda.

Meski berlangir darah dan air mata
pengukuhan tekad dan perjuangan
adalah puncak lestari abadi
perlu wujud dan dipatuhi.

Kita lestarikan perjuangan
budaya, bahasa dan pendidikan
perencah kehidupan anak-anak nusa
kerana di sini – di bumi tercinta ini
wadah kehidupan kita
berakar dan berumbi
zaman berzaman.

REJAB F.I.
Perlis.

Friday, May 2, 2008

BEKALAN KE JALAN PULANG

Puisi

Tiga serangkai zikir
Bekalan ke jalan pulang
Takdis, Tahmid dan Takbir
Adalah ibadat sejati.

Subhanallah --
Maha Suci Allah
Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Kesucian-Nya kita abadikan segala ibadat
Kesuciann-Nya kita panjatkan segala hajat.

Alhamdulillah --
Segala puji bagi Allah
Allah yang menyempurnakan kehidupan
Kepujian-Nya adalah mensyukuri nikmat-Nya
Adalah sanjungan abadi makhluk-Nya.

Allahuakbar --
Allah Yang Maha Besar
Kebesarannya adalah milik semesta alam
Tanpa membatasi langit dan bumi
Tanpa membatasi bangsa dan keturunan.

Keimanan adalah mercu pemilihan-Nya
Sebuah ketetapan yang pasti
Di sanalah perhitungan hakiki
Syurga atau neraka milik-Nya yang abadi.


REJAB F.I.
Perlis.


Saya sekeluarga - isteri, anak-anak,
menantu dan dua orang cucu


Bangunan rumahku - hasil titik peluah
suami isteri - Rumah itu syorgaku.


Kampungku - Sebahagian daripada memori hidupku
sebuah alur di mana tempat kami mandi dan belajar
berenang.

Thursday, May 1, 2008

BIODATA REJAB F,I,

BIODATA REJAB BIN ISMAIL
(REJAB F.I.)

LATAR BELAKANG

1. Dilahirkan di Kampung Bongkok, Padang Lati, Perlis, pada 12 Sep-
tember 1941, ketika menyarak peperangan dunia kedua.

2. Umur: 66 tahun.

3. Anak seorang petani.

4. Kini sebagai Pesara Guru dan penulis sepenuh masa, menumpu-
kan kegiatan kepada budaya dan masyarakat.

KELUARGA

1. Ibu: Yah binti Saman (meninggal 1947)

2. Ayah: Ismail bin Salleh (meninggal 1979, ketika berusia 73 tahun)

3. Adik-beradik: Abdullah (abang sulung, meninggal), Aishah (kakak),
Othman (abang), saya, Rohani (adik) dan Mat Zainol (adik).

4. Berumah tangga /berkahwin 1964:

Isteri: Fatimah binti Taha (1944)
Anak-anak: Ronifira (1965), Rustam Affendi (1974), Rizal Irwandi (1975)
Cucu: Nadia Farahna Fira (1979), Kamal Ridzuan Rashid (1980).

5. Tempat tinggal sekarang: Km.3, Kampung Tanjong Gorah, Repoh,
01000 Kangar, Perlis. Telefon: 04-9768855. Bimbit: 019-4544855.

PENDIDIKAN

1. Belajar di Sekolah Melayu Santan sehingga Darjah V (1950), Seko-
lah Melayu Paya Darjah VI (1954), Sekolah Melayu Kangar (Lelaki)
Darjah VII (1955) - dalam masa penjajahan Inggeris.

2. Belajar sendiri: Lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1961, Sijil Pela-
lajaran Persekutuan (SPP = SPM) 1962, Sijil Tinggi Pelajaran (STP
= STPM) 1975 - setelah kemerdekaan.

3. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) - Maha-
siswa Luar Kampus - Lulus Sarjanan Muda Kesusasteraan Dengan
Kepujian (B.A. Hons.) 1980 - ketika menjadi guru.

PEKERJAAN

1. Lepas sekolah Melayu (1955), sementara mendapat kerja, menjual buah ciku di pasar-pasar sehari (nat).

2. Berniaga telur ayam di kampung-kampung - lahir novel: 'Di Mana
Ada Kemahuan'.

3. Dilantik sebagai Guru Pelatih pada tahun 1956.

4. Dilantik sebagai Guru Besar sekolah rendah pada tahun 1970 -
1979.

5. Mengajar di sekolah menengah dan sebagai Guru Penolong kanan
pada tahun 1982 hingga 1991.

6. Bersara pilihan sendiri sebagai pendidik 1991 (ketika berusia 50
tahun) - ingin menumpukan perhatian kepada penulisan..

7. Dilantik sebagai editor penerbitan Rhythm Sdn Berhad, Pulau
Pinang mulai 1996 hingga 2001.

8. Dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka 2005,
(mulai 1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2005).

9. Menjadi penulis sepenuh masa hingga sekarang.

KEGIATAN PENULISAN

1. Mula menulis pada tahun 1960.

2. Menulis semua genre sastera: Novel (dewasa, remaja, kanak-ka-
kanak); cerpen, puisi, drama (radio, pentas, televisyen), cerita rak-
yat, esei/makalah/rencana.

3. Hasil-hasil penulisan:

3.1. Jumlah buku yang telah diterbitkan: 132 judul.

3.2. Novel (dewasa, remaja dan kanak-kanak) berjumlah 103
judul.
Novel 'Noktah Sebuah Perhentian' pernah dijadikan
teks sastera tambahan Tingkatan 5. Novel 'Dosa
Telah Berampun' (novel remaja) dan 'Pertaruhan
Wang Emas' (cerita rakyat/klasik) dijadikan teks
sastera tambahan Tingkatan 3.

3.3. 20 judul antologi cerpen.

3.4. 3 judul antologi puisi.

3.5. Sebuah antologi drama.

3.6. 5 judul buku-buku umum.

3.7. Teks Penerbitan CD "Intisari Kesenian Tradisional Negeri
Perlis Malaysia."

3.8. Karya eceran yang telah diterbitkan dalam akhbar,majalah, radio dan televisyen tempatan:

3.8.1. 185 judul cerpen

3.8.2. 396 judul puisi

3.8.3. 345 judul rencana/esei

3.8.4. 20 judul drama radio

3.8.5. 15 judul drama televisyen

3.8.6. 4 judul drama pentas.

Drama televisyen 'Titian Rapuh' (RTM ) di antara
10 drama terbaik 1982, 'Gelora Impian' (Tv3) di
antara 10 drama terbaik 1994.

3.9. Terjemahan: Puisi dan cerpen diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris, Russia dan China. Cerita kanak-kanak
diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan China.

3.10. Cerpen dipilih sebagai teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia (SPM):

Cerpen 'Sebuah Kampung di Daerah Pendalaman'
(1970), 'Suatu Subuh Yang Bening' (1980) dan 'Me-
mori Kehidupan' (1989).

3.11. Puisi dipilih sebagai teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia:

'Antara Dua Jurang' (1971), 'Peladang' (1971) dan
'Lagu Anak Di Permatang' (1971).

3.12. Tiga judul puisi dipilih memenangi pertandingan lagu puisi
1998, 1999, 2000

3.13. Ceramah: Sering memberi ceramah penulisan cerpen, puisi, cerita rakyat, drama radio dan televisyen kepada penulis-penulis baru dan ceramah/bengkel Kaedah Penerbitan Majalah Sekolah kepada guru-guru (melalui persatuan-persatuan penulis Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara).

3.14. Hakim: Sering dijemput menjadi hakim sayembara deklama- Puisi Hari Kebangsaan, dan sekolah-sekolah. Hakim pertandingan pidato, perbahasan dan kuiz dan hakim Citra Majalah Sekolah Menengah Wilayah Utara (DBP/WU 2005).

3.15. Deklamasi puisi: Sering dijemput mendeklamasi puisi di sekolah-sekolah, maktab dan universiti.

SUMBANGAN KERTAS KERJA DAN IDEA

1. Menyumbang kertas kerja dalam 'Seminar Tarian Canggung',
mengkaji dan memperkenalkan tarian identiti negeri Perlis,
anjuran bersama Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan
Persatuan Penulis Perlis (3P) pada tahun 1974.

2. Dilantik sebagai AJK Penerbitan Buku Cenderamata Sempena
Perayaan 25 Tahun Kemerdekaan Malaysia, peringkat negeri
Perlis, pada tahun 1980.

3. Menjadi AJK Bengkel Tradisi Lisan, anjuran Kementerian Kebu-
dayaan, Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1981.

4. AJK Persembahan Hiburan Rakyat, sempena ulang tahun kepute-
raan DYMM Tuanku Raja Perlis dari tahun 1982 sehingga tahun
1985.

5. AJK Pesta Buku Peringkat Negeri Perlis dari tahun 1982 hingga
1991.

6. AJK Misi Kebudayaan Thailand sempena Hari Keputeraan DYMM
Tuanku Raja Perlis pada tahu 1982.

7. Membentang kertas kerja majlis Ceramah Penulisan Cerpen
Kanak-kanak, kepada guru-guru sekolah rendah Perlis dalam tahun 1985.

8. AJK 'Pameran Melalui Teladan' anjuran kerajaan negeri Perlis pada
tahun 1984.

9. AJK 'Pertandingan Hadrah dan Gendang Tarinai' anjuran kerajaan
negeri Perlis pada tahun 1974, 1976 dan 1990.

10. AJK 'Penganjur Pesta Budaya Negeri Perlis' pada 20 Disember
1994.

11. Membentang kertas kerja 'Proses Penulisan Puisi' dalam majlis
Temu Puisi III, di MATIC, Kuala Lumpur, anjuran Kementerian Ke-
budayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada 11 Disember
1993.

12. Membentang kertas kerja 'Proses Penulisan Cerita Rakyat' di Parit
Buntar, Perak pada tahun 1994.

13. AJK Siri Pengkisahan Sejarah peringkat negeri Perlis, anjuran
Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kerjasama Arkib Negara
Cawangan Alor Setar, pada tahun 1994.

14. AJK Pengelola Kem Sosio Budaya, peringkat negeri Perlis pada
tahun 1994.

15. AJK 'Malam Deklamasi Puisi BPR' cawangan Perlis, pada tahun
1994.

16. AJK Penerbitan Album Di Raja Perlis, sempena sambutan Pera-
yaan Jubli Emas DYMM Tuanku Raja Perlis, pada tahun 1995.

17. AJK Persembahan Rakyat, sempena Perayaan Jubli Emas DYMM
Tuanku Raja Perlis pada tahun 1995.

18. Menulis bahan-bahan lawatan ke Beijing - Xinjiang, China untuk
GAPENA pada 1 hingga 10 Ogos 1995.

19. Pengerusi Dialog Utara III (Pertemuan Penulis Malaysia Utara -
Utara Sumatera) di Perlis, anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P),
GAPENA dan Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1986.

20. Pengerusi Jawatankuasa sambutan 'Minggu Sastera' peringkat
negeri Perlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerja-
sama Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 22 Oktober 1995.

21. AJK Pembangunan Pelancongan Negeri Perlis, anjuran Unit
Perancang Ekonomi Negeri Perlis pada tahun 1994.

22. AJK Tahun Melawat Malaysia, anjuran Jabatan Penerangan Negeri
Perlis pada tahun 1994.

23. Pengerusi AJK Persembahan Kesenian dan Permainan Tradisional
sempena Minggu Budaya negeri Perlis pada tahun 1996.

24. Hakim 'Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan' peringkat
negeri Perlis mulai tahun 1990 hingga 2000.

25. Pengerusi hakim 'Sayembara Deklamasi Puisi Hari Alam Sekitar'
sekolah-sekolah menengah Perlis Jun 2000.

26. AJK Bulan Bahasa dan Sastera Negara, peringkat negeri Perlis,
mulai 1999 hingga 2001.

27. AJK Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan peringkat
kebangsaan, tahun 2000 dan 2001.

28. Informan Rakaman Lagu-lagu Rakyat Perlis, anjuran Dewan Baha-
sa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 24 hingga 28 Julai 2000.

29. Pengerusi Hakim 'Festival Kesenian Perlis 2000, anjuran Pemuda
UMNO Negeri Perlis, kategori muzik Tarinai dan Hadrah, pada
8 dan 9 Julai 2000.

30. Pengerusi Perkampungan Penulis GAPENA -3P - DBP, di Bukit
Ayer Resort, pada 30 Jun hingga 2 Julai 2000.

31. Hakim Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah antara sekolah-
sekolah menengah negeri Perlis, pada 30 September 2000.

32. Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan dan Penyelidikan
Majlis Kebudayaan Negeri Perlis 2000/2001.

33. Ceramah dan Perasmian Kelab Sastera Sekolah Menengah
Agama Al-Islahiah, Bohor Mali, Perlis pada 14 Februari 2001.

34. Deklamasi puisi, sempena Malam Aprisiasi dan Majlis Jasamu
Dikenang, Jabatan Kastam Negeri Perlis, pada 29 Jun 2001.

35. Hakim Pertandingan Puisi dan Lagu, sekolah-sekolah menengah
negeri Perlis, pada 15 Ogos 2001.

36. Dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, sebagai
Tokoh Penyair, sesi "Mengenal Tokoh", untuk program
Penghayatan Budaya dan Sastera dalam Program Latihan Khidmat
Negara, pada 14 Februari 2005, di Kem Tasik Meranti, Perlis.

37. Penceramah Bengkel "Kaedah Penerbitan Majalah Sekolah",
pada 29 September 2005, di Pusat Sumber Pendidikan, Pulau Pinang,
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Utara bersama Pusat
Sumber Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

KEGIATAN KEMASYARAKATAN

1. Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 23 tahun - (se-
menjak 1977 hingga 2004).

1.1. Membimbing dan melahirkan sekian banyak penulis-penulis
Perlis seperti Nurhalim Ismail, Nur S.Bidin Beseri, Nasir Ali,
Nordin Saad, Saleha Ahmad, Nilamsuri, Basariah Bakar,
Bibi Baharom dan Siti Zubaidah Haris.

1.2. Berjuang memartabatkan Bahasa Melayu - memorandum
"Sepuluh Faktor Mengapa Bahasa Melayu Patut Di
Martabatlan - dikirimkan kepada Perdana Menteri dan
pejuang bahasa Melayu seluruh Malaysia.

1.3. Berusaha memelihara dan memperkembangkan kesenian
tradisional negeri Perlis seperti Awang Batil, Selampit,
Hadrah, Beduan, Alu Bunyi, Berendoi dan Gendang Perlis.

1.4. Memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh negeri Perlis
yang banyak berjasa dengan nama 'Tokoh Budaya 3P'
(sudah 22 orang - pada setiap tahun mesyuarat agung 3P).

1.5. Sekian banyak penyelidikan sejarah yang terdapat di negeri
Perlis seperti ketokohan Tok Arau, Kota Indera Kayangan,
Kampung Bunga Emas, Kampung Wang Kelian dan Makam
Tok Perlis.

2. Naib Yang Di Pertua Satu Majlis Kebudayaan Negeri Perlis
(MKN) semenjak 1995 hingga 2004.

2.1. Melalui MKN sekian banyak kesenian tradisional Perlis di-
perpolerkan iaitu secara mengelolakan Pesta Perlis dan
Pertandingan Kesenian Tradisional Rakyat Perlis pada
tahun 1994, 1995 dan 1996.

2.2. Memasang papan tanda: Perlis Indera Kayangan - PADA
MU NEGERI, TEMPAT KAMI BERBAKTI, di Sanglang,
Jelempok, Kuala Perlis, Padang Besar dan Pauh - sebagai
seruan rakyat negeri Perlis berbakti kepada negeri ini
(melalui MKNPs).

2.3. Memasang papan tanda untuk memasyarakatkan puisi
di tempat tempat pelancongan dalam negeri Perlis,
seperti di Tasik Melati, Gua Kelam, Hutan Lipur Bukit Air,
Sungai Batu Pahat dan Kuala Perlis (melalui 3P).

2.4. Memasang papan tanda dahwah untuk memasyarakatkan puisi di Komplek Agama Islam Kangar, puisi "Bekalan Ke Jalan Pulang" dan di Masjid Negeri, Arau, puisi "Takwa"
(Bersendirian).

2.5. Memasang papan tanda puisi Melayu tradisional: Pantun,
syair dan gurindam untuk memasyarakatkan puisi di Taman
Budaya serta Di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar (bersendirian).

2.6. Memasang papan tanda sejarah 'Bakti dan Jasa Tok Arau',
di Kampung Kebun, Arau, Perlis (bersendirian).

2.7. Mengelolakan Pesta Pantun dan bengkel 'Penghayatan dan
Penulisan Pantun', di Kuala Sungai Kurung Tengar, Perlis,
Pada 22 hingga 24 Disember 2004 (kerjasama MKNPs).

3. Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA semenjak 2000 hingga 2004.

3.1. Selaku Ketua Biro Kebajikan

3.2. Berusaha menerbitkan Lampiran Kereatif Warta GAPENA

3.3. Berusaha menerbitkan antologi puisi 'Sumpah Setia Bahasa'
dan "Daik Bonda Tanah Melayu.

4. Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri
Perlis, mulai tahun 1995 hingga 2000.

4.1. Pengerusi penerbitan Jurnal Warisan Indera Kayangan,
1998 hingga kini.

4.2. Ahli Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Perlis.

4.3. Pengerusi Penubuhan Bilik Bacaan di kampung-kampung
dalam negeri Perlis.

5. Persiden KKGMB Perlis 1985 - 1987

6. AJK Syarikat Pegawai Kerajaan Negeri Perlis 1985 - 1990

7. AJK UMNO Cawangan Repoh, Perlis 1982 - 1995

7.1. Pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan
Repoh, Perlis.

7.2. Pernah dipilih sebagai Perwakilan ke Persidangan Agung
UMNO di Kuala Lumpur.

8. AJK Lembaga Mesjid Repoh, Perlis 1980 - 1999

8.1. Menubuhkan Bilik Bacaan di mesjid tersebut.

9. AJK Persatuan Sejarah Negeri Perlis 1994 hingga 2000.

10. AJK Koleksi Muzium Negeri Perlis.

11. AJK Kecil Penamaan Jalan, Kawasan Perumahan dan Tempat
Awam, Majlis Perbandaran Kangar 1999 hingga kini.

12. Ketua Satu Persatuan Kebajikan Am Kampung Tanjung Gorah/
Repoh, Perlis 1970 hingga kini (2005 selama 35 tahun).

12.1. Memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat
tentang kebajikan iaitu menubuh tabung Khairat Kema-
tian dan Alatan pinggan-mangkuk untuk kenduri-kendara.

13. Naib Pengerusi Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS) 2004
hingga kini.

13.1. Menyediakan kertas KESEPAKATAN MEMARTABATKAN
BAHASA MELAYU untuk tiga buah persatuan Melayu iaitu
Pulau Pinang (PEMENANG), negeri Kedah (PEMIKAD) dan
negeri Perlis (PEMANIS).

14. Naib Penerusi Persatuan Penggiat Kesenian Negeri Perlis
(PESENI) 2004 hingga kini.

MINAT DAN KECENDERUNGAN

1. Lanskap rumahtangga

1.1. Memenangi hadiah kedua 1997 peringkat negeri Perlis.

1.2. Memenangi hadiah pertama 1998 peringkat negeri Perlis.

1.3. Memenangi hadiah kedua 1998 peringkat kebangsaan.

2. Berkebun dan dusun.

3. Mencungkil dan memulihara kesenian tradisional negeri Perlis seperti: Tarian Canggung dan Cinta Sayang, Hadrah, Gendang Tarinai, Awang Batil, Selampit, Alu Bunyi, Berendoi, Gendang Perlis dan Beduan.

3.1. Aktiviti dijalankan melalui Persatuan Penulis Perlis (3P)
dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan Kesenian
serta Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (MKNPs).

3.2. Dilantik sebagai Penyelidik, menghasilkan buku KOLEKSI
KESENIAN TRADISIONAL NEGERI PERLIS, oleh Jabatan
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis.

ANUGERAH

1. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 1974 daripada DYMM Tuanku Rajai
Perlis.

2. Pingat Jasa Baik (Pengakap) 1975 daripada Pesuruhjaya Penga-
kap Negara (Malaysia).

3 Pingat Ahli Mahkota Perlis (AMP) 1987 daripada DYMM Tuanku
Raja Perlis.

4. Pingat Setia Mahkota Perlis (SMP) 2003 daripada DYMM Tuanku
Raja Perlis.

5. Tokoh Penulis Perlis 2001 daripada Persatuan Penulis Perlis (3P).

6. Pingat Jasa Cemerlang (PJC) 2005 daripada Yayasan Tuanku
Syed Putera, Perlis.

7. Penggiat Seni Negeri Perlis (Kesenian Tradisional) 2002, oleh
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis.

HADIAH SASTERA

1. Hadiah Sastera Nasional 1971 - tiga buah puisi

2. Hadiah Sastera Nasional 1972 - sebuah puisi

3. Hadiah Sastera Esso - GAPENA 1985 - sebuah cerpen

4. Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank (puisi/cerpen) 1994,
1995, 1996, 1997, 1999.

KEGIATAN PENULISAN KINI

1. Dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka mulai
1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2005. Menulis : Memoir Rejab
F.I. "Seribu Riak Di Pantai Usia"

2. Dilantik sebagai ahli panel oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala
Lumpur sebagai penulis untuk projek "Sastera Rakyat Malaysia",
mulai Januari 2005.

3. Penerbitan antologi cerpen dan puisi.

4. Bekerjasama dengan "Pusat Dokumentasi Melayu DBP" -
perolehan koleksi tentang penulisan.

5. Menghasilkan karya cerpen, puisi, drama televisuen, esei kesenian,
kebudayaan dan pelancongan.

FALSAFAH/PENDAPAT

1. Berdisiplin dalam kehidupan.

2. "Katakanlah benar meskipun pahit" - menurut hadis Nabi
Muhammad s.a.w.

3. Lebih baik bersahabat dengan flora dan fauna daripada bersahabat
dengan manusia yang tidak berperikemanusiaan.

4. Pembangunan ekonomi, sains dan teknologi tanpa diseimbangkan
dengan pembangunan budaya, pincanglah masyarakat.

REJAB ISMAIL- REJAB F.I.