Tuesday, May 13, 2008

CANDI BOROBUDUR MEMBANGUN KEMBALI SETELAH KERUNTUHAN

رجب بن اسمعيل - رجب ايف. اءي

Oleh
REJAB F.I.


BOROBUDUR merupakan candi yang begitu menarik, di antara candi yang terbesar di dunia. Terletak di Kacamatan Borobudur, 42 kilometer dari bandar Yokyakarta, Indonesia, begitu kukuh pembinaannya, didirikan dalam abad ke-8 oleh penganut agama Buddha aliran Mahayana.
Candi tersebut sebenarnya telah mengalami keruntuhan disebabkan oleh gerak gempa, letusan gunung berapi dan dipanah petir, sekian lama tinggal terbiar dalam hutan belantara setelah penganut agama Buddha tidak lagi berkembang di situ.
Menurut Aiaz Rajasa yang menulis buku kecil, berjudul CANDI BOROBUDUR, Candi Pawon & Candi Mendot, 2007, dalam abad ke 19, sekitar tahun 1811 hingga 1815, ketika Inggeris memerintah Indonesia, Sir Thomes Stamford Raffles (yang kemudiannya membuka Singapura pada tahun 1819) selaku Gabenor Jeneral di pulau Jawa mendapat tahu terdapat sebuah candi dalam daerah pemerintahannya.
Seorang pegawai Inggeris yang bernama H.C.Comelius ditugaskan oleh Raffles untuk menyelenggarakan pembersihannya. Lantas kawasan candi tersebut dibersihkan sekitarnya dan berusaha membina semula, akan tetapi tidak berkesempatan memulihara sepenuhnya kerana Sir Thomas Stamford Raffles di tukar menjadi gabenor Singapura.
Ketika pemerintahan Belanda, meskipun terdapat pemimpinnya yang begitu tertarik kepada Borobudur akan tetapi terdapat juga di antara mereka yang mengambil membawa keluar sekian banyak artifak yang berharga. Pada tahun 1896, Residen Kedu mengambil area dan batu berukir sebanyak 8 gerabak kereta api untuk dihadiahkan kepada Raja Siam iaitu Raja Chulalongkon.
Sehingga kini, menurut Aiaz Rajana, artifak-artifak yang berharga itu masih tersimpan di Bangkok.
Meskipun begitu terdapat pegawai Belanda yang begitu prihatin terhadap keruntuhan Borobudur, sebuah menomen bersejarah dan besar maknanya itu. Dalam tahun 1907 hingga 1911, Jurutera Th Van Erp telah membongkar dan menyatukan kembali reruntuhan batu dan mendirikan kembali Borobudur.
Hasil usaha Van Erp itulah tertegak kembali Borobudur sepertimana bangunannya yang asal. Namun sesudah itu berlaku kembali keruntuhan Borobudur dari anasir alam, hujan dan gerak gempa menyebabkan Borobudur menghadapi keruntuhannya pula.
Setelah kemerdekaan Indonesia dengan kerjasama UNESCO, mulai tahun 1973 candi tersebut dapat dibangunkan seperti yang terdapat hari ini. Setelah itu berpusu-pusulah para pelancong dari dalam dan luar Indonesia seperti dari Eropah, Jepun, Korea dan China mengunjungi Candi Borobudur terutama para pencinta sejarah.
Candi tersebut, kini di awasi oleh pemerintah Indonesia sebaik-baiknya kerana khuatir akan berlaku kerosakan sepertimana pernah berlaku kebakaran suatu ketika dahulu.
Pengawasan dilakukan sebaik mungkin oleh para pegawai yang bertugas di situ. Mereka akan mengarahkan melalui pembesar suara jika terdapat para pengunjung yang melanggar peraturan ketika berada di atas bangunan tersebut.
Untuk memasuki kawasan candi dikenakan bayaran yang tertentu, lazimnya para pengunjung yang membuat pelancongan ke situ akan dibayar oleh pakej pelancongan.
Candi Borobudur didirikan bertingkat-tingkat iaitu di bahagian tapak, tubuh dan puncak candi. Terdapat 72 buah stupa kecil, di tingkat pertama 32 buah, tingkat kedua 24 buah dan terakhirnya 16 buah. Stupa-stupa tersebut mengelilingi stupa induk yang besar terdapat di puncak Borobudur.
Para pengunjung akan dibawa oleh pemandu candi sambil menerangkan kedudukan stupa-stupa tersebut dan fungsi-fungsinya.
Mengikut kepercayaan penganut agama Buddha, terdapat empat kebenaran utama pada setiap lingkaran candi tersebut. Pertama, hidup merupakan kebenaran. Kedua, penderitaan disebabkan oleh nafsu. Ketiga, penderitaan itu sebenarnya dapat dilenyapkan. Keempat, melenyapkan penderitaan perlu menjalani lapan jalan utama.
Sekian banyak patung-patung Buddha yang dipelihara dengan baik mengikut kedudukan masing-masing. Di permukaan jalan terdapat patung Singa sebagai penjaga untuk mendaki tangga Borobudur. Pada dinding candi pula terdapat sekian banyak ukiran yang mempunyai maksud tertentu terutama sekali tentang budaya kehidupan penduduk zaman tersebut.
Ketika berada di atas candi, kelihatan sekitar kawasan candi yang dipenuhi perkampungan penduduk, rata-rata mengusahakan sawah padi. Menurut salah seorang pemandu, juga merupakan seorang imam di kampungnya bahawa kini langsung tidak terdapat penduduk di sekitar candi Borobudur yang beragama Buddah, rata-rata beragama Islam.
Ternyatalah pengaruh agama Islam apabila tersebar di situ menghapuskan kepercayaan agama Buddha, tidak seperti di pulau Bali agama Hindu masih kaut pengaruhnya meskipun setelah berabad-abad kedatangan agama Islam.
Sesungguhnya para pengunjung yang terdiri berbagai bangsa termasuk dari Jepun, Cina, Korea dan Eropah ketika mengunjungi candi tersebut begitu terhibur dan dapat pula menyaksikan suatu keajaiban bangunan yang didirikan dengan kudrat manusia zaman purbakala, tanpa menggunakan jentera canggih masa kini.
Candi tersebut menggunakan sebanyak 55,000 ketul batu granit yang dipahat dan disusun merupakan sebuah candi.
Di sepanjang jalan memasuki kawasan candi terdapat sekian banyak pula barang-barangan jualan penduduk setempat merupakan cenderamata. Mereka berebut-rebutan memperkenalkan barangan masing-masing dan mengekori pengunjung sehingga terpaksa membelinya seperti replika candi, baju, buku-buku, gambar mengenai candi tersebut dan sebagainya. Kita amat terhibur, dapat pula melepaskan kelelahan di samping mengabadikan gambar di sekitar candi yang begitu gagah dan terkenal di dunia sebagai kenang-kenangan.

No comments: