Friday, May 16, 2008

BICARA PROFIL BERSAMA REJAB F.I.

BICARA PROFIL BERSAMA REJAB F.I - MALAYSIA KINI
(Mula dipamer pada 29/4/2002 5:04:20 PM)

Rejab bin Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F. I merupakan seorang penulis yang bukan sahaja terkenal di negeri asalnya negeri Perlis Indera Kayangan malah nama beliau sudah bertapak kuat di arena penulisan tanahair. Beliau bukan sahaja berbakat menghasilkan cerpen, novel dan sajak malah berkebolehan menulis skrip drama televisyen. Bersumberkan kehidupan masyarakat sekeliling, beliau mengarap suatu bentuk penulisan yang mampu merutun jiwa penontonnya. Kenali Rejab F.I atau lebih mesra membahasakan diri beliau sebagai Pak Jab dalam Bicara Profil ini. Ebm

BM: Bagaimanakah nama Rejab F.I itu diperolehi?
RI: Nama sebenar saya ialah Rejab bin Ismail. Rejab F. I pula merujuk kepada nama dua orang yang
menjadi kebanggaan saya. ‘F’ adalah sempena nama isteri Pak Jab iaitu Fatimah dan ‘I’ sempena nama
bapa saya iaitu Ismail. Jadi, saya mengabadikan nama mereka kerana jasa dan bakti mereka.

BM: Pak Jab sebagai seorang guru, kemudian terjun dalam bidang penulisan. Adakah guru itu
cita-cita pertama ataupun penulisan itu cita-cita pertama?
RI: Kebanyakan penulis di Malaysia pada zaman saya terdiri dari kalangan guru. Sebab guru-guru
mempunyai peluang untuk menulis dan juga membaca pada peringkat awal di negara kita. Jadi, semasa
menjadi guru timbul daya usaha untuk menulis kerana pada masa itu tahap pembacaan di negara kita
amat rendah. Memandangkan gurulah yang banyak membaca, jadi secara tidak langsung ianya membantu
seseorang itu menjadi kreatif kerana ideanya dapat diperkembangkan. Bagi Pak Jab, minat dalam sastera
bermula dari kecil lagi. Kata orang bermula dalam buaian lagi. Ibu Pak Jab banyak bercerita tentang
cerita-cerita rakyat sebelum Pak Jab tidur. Bermula dari situ tumbuhlah daya kreatif melalui cerita-cerita
rakyat, cerita klasik dan cerita orang-orang tua. Pada masa Pak Jab ke sekolah, Pak Jab membaca
banyak buku-buku cerita tapi ketika itu zaman penjajahan. Inggeris lebih mengutamakan bahasa Inggeris.
Masalahnya Pak Jab belajar di sekolah aliran Melayu, sudah tentu akan menghadapi masalah untuk
mendapatkan bahan bacaan. Hanya beberapa naskah sahaja buku cerita Melayu yang terdapat pada
masa itu misalnya Orang Bersayap, Hikayat Hang Tuah dan beberapa naskah lagi. Bila jadi guru, Pak Jab
banyak membeli buku-buku cerita yang pada masa itu pengaruh Indonesia cukup kuat. Sebelum
konfrontasi Indonesia ke atas Malayisa, telah ditubuhkan perpustakaan Republik Indonesia di Kangar. Jadi
secara tidak langsung Pak Jab berpeluang mambaca banyak buku-buku hasil karyawan dari sana. Setelah
itu, timbul pula di hati Pak Jab untuk meluahkan idea Pak Jab sendiri. Semasa Pak Jab menjadi guru, Pak
Jab mengambil peluang yang ada untuk berkarya.

BM: Apakah bentuk penulisan yang cenderung dihasilkan oleh Pak Jab?
RI: Pak Jab sebenarnya lebih berminat untuk menghasilkan sesuatu penulisan yang kreatif iaitu hasil
penulisan yang boleh dimasukkan dalam semua majalah atau artikel seperti cerpen, puisi, drama, novel
dan cerita rakyat yang dapat membentuk mentaliti anak-anak kita bermula di awal usia mereka lagi dan
seterusnya hinggalah mereka sudah remaja, dewasa dan di peringkat berumur. Sebab melalui cerita klasik
ini ianya dapat membentuk keperibadian anak-anak kita. Kalau dibandingkan anak-anak kita zaman
sekarang, mereka lebih banyak menonton televisyen daripada mendengar cerita-cerita klasik. Pengaruh
daripada cerita tersebut menyebabkan wujudnya bermacam gejala sosial seperti bohsia, budaya lepak,
penagihan dadah dan sebagainya. Kerajaan cuba membendung masalah sosial ini tetapi pada masa yang
sama pihak media bebas menyiarkan tayangan-tayangan yang boleh merosakkan akhlak anak-anak muda
kita hari ini. Tetapi kita bersyukur kerana Kementerian Pendidikan telah menyedari bahawa pendidikan
rohani anak muda kita di sekolah adalah melalui sastera dan budaya. Sebagai contoh negara Jepun,
mereka membangun dengan segala macam pembangunan, sains dan juga teknologi tetapi mereka
berpegang teguh kepada tradisi kehidupan mereka, adat, sejarah dan bahasa. Sebab itulah Jepun dapat
membentuk bangsa yang cintakan negara, bangsa dan budayanya. Jadi, pada pendapat Pak Jab untuk
membentuk keperibadian murni di kalangan anak-anak muda, kita pandanglah ke timur melalui budaya
yang sesuai sebagai seorang Islam.

BM: Pak Jab berkata sebelum tidur ibu Pak Jab bercerita dengan cerita-cerita klasik. Tapi budaya
bercerita bukan lagi menjadi satu amalan dalam masyarakat kita pada hari ini. Sedangkan Pak
Jab katakan tadi cerita-cerita yang sedemikian dapat membentuk minda dan peribadi anak-anak
seperti hormat menghormati kepada orang tua, rakan dan sebagainya. Nampaknya sukar untuk
mendidik anak-anak hari ini.
RI: Tidak sukar, kerana pada masa sekarang ini banyak syarikat penerbitan buku, jadi kita tidak perlu lagi
bercerita. Apa yang perlu ialah kita perlu bekalkan mereka dengan bahan bacaan cerita-cerita rakyat
memandangkan pada masa ini ianya mudah untuk didapati. Dengan cara ini anak-anak dapat mengetahui
cerita tersebut yang mengandungi pelbagai unsur pengajaran, nilai-nilai murni dan sebagainya melalui
pembacaan mereka. Pak Jab sendiri pun telah menghasilkan tidak kurang dari seratus judul siri cerita
rakyat yang popular di setiap negeri. Contohnya di Perlis, lagendanya ialah seorang pahlawan bernama
Indera Kayangan dan Pak Jab menulisnya untuk bacaan kanak-kanak. Kalau di Sarawak, lagendanya ialah
Puteri Santubong, Langkawi dengan Mahsuri. Kita harus kemukakan lagenda-lagenda itu supaya
anak-anak kita mengetahui pejuang-pejuang bangsa kita pada masa dahulu melalui cerita yang ringkas.
Jadi bahan bacaan tersebut tidak memerlukan lagi ibu-ibu bercerita kepada anak-anak.

BM: Pak Jab menghasilkan begitu banyak karya seperti cerpen, novel dan cerita rakyat, jadi
bagaimana dengan sambutan masyarakat terhadap penulisan-penulisan sedemikian?
RI: Ternyata sambutan dari masyarakat kita amat kurang untuk menghayati hasil-hasil sastera. Ini adalah
kenyataan. Misalnya kami di kalangan penulisan kreatif membentuk persatuan di setiap negeri di Malaysia. Kemudian bercantum menjadi GAPENA (Gabungan Penulis-Penulis Malaysia) yang di ketuai oleh Tan Sri Prof. Osman Hussin. Sudah 31 tahun wujudnya gabungan ini bertujuan untuk menggiatkan lagi di kalangan
para penulis menghasilkan karya. Di Perlis, baru-baru ini kami mengadakan bengkel penulisan kreatif untuk
mereka yang berminat dalam penulisan dan kemudiannya kami kumpulkan hasil-hasil penulisan tersebut
kecuali rencana untuk dibukukan. Masalahnya untuk mendapatkan sebuah syarikat penerbitan pun susah
dan satu-satunya tempat kami bergantung ialah kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Bayangkan
DBP mencetak sebanyak 3,000 naskah dijual dalam jangka masa lima tahun tapi belum habis juga.
Sekarang pula DBP hanya mencetak sebanyak 500 naskah sahaja, itu pun tak terjual sepenuhnya. Ini
membuktikan bahawa masyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu amat kurang membaca.

BM: Bagaimana pula nasib kumpulam penulis-penulis sepenuh masa iaitu yang bergantung
kepada pandapatan melalui hasil jualan karya mereka. Apakah jualan buku yang tidak laku
mematahkan semangat mereka.
RI: Sememangnya kalau seseorang penulis bergantung kepada hasil karyanya untuk cari makan di
Malaysia kita boleh dikira dengan jari, pada umumnya mereka mempunyai kerja tertentu contohnya Prof.
Shahnon Ahmad, beliau adalah seorang pensyarah dan juga bekas seorang guru. Kalau nak harapkan
kepada hasil karyanya memang tak boleh hidup. Sebabnya jualan tidak berkembang kerana masyarakat
Melayu amat kurang membaca. Ada kajian mengatakan purata masyarakat Melayu membaca hanya satu
muka surat sahaja dalam setahun. Masalah ini menyebabkan perkembangan mental masyarakat kita agak
lambat untuk berkembang terutama perkembangan dalam bidang teknologi. Jadi bagaimana nasib mereka
untuk menghadapi apa yang dikatakan zaman dunia tanpa sempadan atau era globalisasi. Sebagai bukti,
ada sebuah syarikat melantik saya sebagai editor untuk menerbitkan novel remaja. Sebulan empat judul
dan sehingga kini sudah melebihi 200 judul. Tiba-tiba dua minggu yang lalu saya mendapat notis supaya
operasi syarikat tersebut ditutup. Pak Jab merasa kesal dengan penutupan tersebut kerana penerbitan
dalam versi Melayu akan semakin berkurangan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan termasuk
kempen membaca tetapi masyarakat kita tetap kurang membaca. Sebab itulah mental orang-orang kita

BM: Perlis merupakan sebuah negeri yang paling kecil di Malaysia, pada pandangan Pak Jab
apakah yang dapat diterokai di Perlis contohnya aktiviti budaya untuk mampu berdaya saing
dengan negeri-negeri lain?
RI: Memang jelas bahawa negeri Perlis kecil, sumber pendapatan pun kurang jika dibandingkan dengan
negeri-negeri lain. Tetapi semasa saya menjadi guru, Kerajaan telah merancang untuk menjadikan Perlis
sebagai pusat keilmuan bagi menambahkan pendapatan. Industri ilmu bermaksud mendirikan seberapa
banyak kemudahan pusat pengajian untuk menjadikan Perlis seiring dengan pembangunan dengan
negeri-negeri lain. Kewujudan industri ini akan membantu memakmurkan Perlis. Malangnya, usaha tersebut
berjalan agak perlahan akibat daripada beberapa masalah yang timbul. Ini merupakan sesuatu yang amat
merugikan. Perlis juga kaya dengan budaya dan kesenian tradisional sama dengan negeri-negeri lain di
Malaysia. Masalahnya kesenian negeri perlis tidak di perkenalkan secara meluas. Saya pun memberi
penumpuan untuk memperkembangkan lagi kesenian tradisi Perlis contohnya tarian Canggong. Saya cuba
membuat kajian bagaimana untuk mempopularkan tarian tersebut. Pernah satu ketika di bawah Majlis
Kebudayaan dan Persatuan Penulis Negeri Perlis kami berusaha mempertahankan ‘tarian Canggong’ dan
‘lagu Cinta Sayang’ yang sekarang ini dipopularkan oleh Negeri Kedah. Majlis Kebudayaan dan Persatuan
Penulis Perlis mencabar supaya menunjuk dengan betul tarian Canggong kerana tarian canggong yang asli
bukan seperti sekarang. ‘Beduan’ merupakan kebudayaan negeri Perlis yang tertua iaitu kewujudannya
300 tahun dahulu. Permainannya dengan menggunakan 10 orang pemain gendang. Mereka melaungkan
sekuat-kuatnya lagu (berbentuk pantun) yang mereka nyanyikan dan kebiasannya amalan ini dimainkan di
rumah kenduri orang kahwin dengan tujuan untuk menghebahkannya. Sayangnya “beduan” sudah tidak
diamalkan dan tidak lagi menjadi amalan masyarakat Perlis. Sebab itulah Pak Jab cuba sedaya upaya
untuk menghidupkan kembali amalan tradisi itu.

BM: Sepanjang Pak Jab bergiat dalam penulisan, kesenian dan kebudayaan, saya rasa sudah
boleh digelar aktivis budaya. Macam mana pengiktirafan khususnya kepada jasa-jasa Pak Jab
ini.
RI: Semasa Allahyarham Y.A.B. Datuk Jaafar Hassan (Bekas Menteri Besar Perlis), ada bagi pingat
penghargaan kepada Pak Jab iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Selepas itu Pak Jab menerima sekali lagi
anugerah yang Pak Jab rasa ianya bolehlah dianggap sebagai pingat penghargaan iaitu Ahli Mahkota Perlis
(AMP). Walaupun ini semua bukanlah perkara yang diutamakan tetapi Pak Jab berterima kasihlah dan
bersyukur kepada Allah dengan apa yang telah Pak Jab kecapi. Ebm

No comments: